20 Ilham Hias Semula


Ada kira-kira sebulan lebih sahaja lagi menjelang hari raya dan kebanyakan kita tentunya sibuk menyiapkan keperluan diri dan anak-anak pada waktu ini, termasuklah memastikan biskut raya sudah penuh dalam balang.

Pada masa yang sama juga masih belum terlewat untuk kita membuat perancangan menghias semula suasana dalaman rumah, terutama di ruang yang menjadi tumpuan tetamu. Dan tidak semestinya kita perlu berbelanja besar untuk mencipta kelainan dalam penataan.

Jangan bersusah-payah menukar perabot lama dan membeli perhiasan mahal. Sebaliknya langkah memperbaharui barang sedia ada sudah memadai. Bagaimanapun, jika ada wang berlebihan dan hati sudah berkenan kepada yang baru, belilah mengikut keperluan seadanya. Dua puluh panduan berikut boleh membantu mengubah wajah ruang pada Aidilfitri nanti.

 

1.KEDUDUKAN PERABOT

Kelengkapan di ruang tamu, termasuk set sofa dan permaidani yang menjadi titik tumpuan boleh diubah kedudukannya untuk membentuk suasana baru.

Kedudukan-Perabot

 

2.TERENDAK LAMPU

Beli terendak yang mempunyai rekaan lain daripada lain. Lebih bagus jika fabrik terendak itu adalah jenis licin, berkilat dan bermotif kerana apabila digabungkan dengan mentol berwarna seperti merah jambu misalnya, pencahayaan yang dihasilkan pasti memukau.

 

3. AKSESORI LANGSIR

Untuk memberi kesan terhadap keluasan dan ketinggian ruang, tambahkan sahaja perhiasan di hujung langsir, sama ada bahagian kaki ataupun sisi. Untuk sesuatu yang baru, cuba guna fabrik sari kerana keindahan kain ini pasti menonjol dalam kediaman.

 

4. SILING

Seelok-eloknya jangan biarkan siling kosong. Cat dengan rona yang sama seperti warna dinding. Kalau tidak pun, tambahkan corak pada siling dengan menggunakan kertas dinding.

 

5. KERTAS DINDING

Lebihan kertas dinding jangan dibuang. Anda boleh pelbagaikan fungsinya seperti menjadikan bahan kemasan itu sebagai latar belakang rak baju atau tampal pada laci pakaian.

Kertas-Dinding

 

6. SUSUNAN BUKU

Jika selama ini himpunan buku di atas rak disusun mengikut ketinggian, apa kata kali ini dibuat mengikut warna. Serikan dengan beberapa gambar berbingkai dan perhiasan agar rak tidak kelihatan hambar.

 

7. PINTU

Lazimnya pintu rumah berwarna coklat, hitam atau putih. Tukarlah kepada warna yang lebih ceria. Setidak-tidaknya memudahkan tetamu mencari rumah anda pada hari terbuka nanti! Atau kemaskan dengan ukiran kerawang pada bahagian permukaan untuk menyerlahkan lagi kewujudan pintu rumah.

 

8. WARNA

Perabot lama seperti kerusi makan/rehat, meja konsol dan meja sisi yang sudah kusam warnanya bolehlah diberi nafas baru dengan mengecatnya semula. Bagaimanapun, janganlah memilih warna asal sebaliknya cat semula dengan warna lain agar perubahan yang dibuat lebih ketara. Pilih warna yang jarang dipilih orang seperti kuning berkilat, hijau lumut, ungu pekat, merah ceri dan biru kehijauan.

 

9. KARYA SENI

Sekiranya anda suka menggantung karya seni seperti lukisan dan poster, kali ini cuba dapatkan yang berukuran besar. Ini kerana lagi besar karya seni yang diketengahkan, lagi mudah ia menarik perhatian, selain berupaya menampakkan kesan luas pada ruang sempit. Malah kalau ada skaf bermotif menarik yang sekian lama berlipat atau tergantung di dalam almari, eloklah dibingkaikan dan digantung di ruang sudut.

 

10. ALAT PANDANG DENGAR

Suasana kediaman turut berubah sekelip mata apabila menggunakan alat pandang dengar terkini bagi menggantikan yang lama. Kalau sudah lama sangat menggunakan televisyen permukaan gelembung maka bolehlah beli jenis skrin rata 3D.

Samsung-TV

Jika televisyen lama masih boleh berfungsi, letakkan sahaja di bilik tidur tetamu atau di ruang lain yang terlindung. Begitu juga dengan radio transistor eloklah ditukar kepada jenis hi-fi yang dilengkapi alat pembesar suara. Melainkan kelengkapan lama ini sudah masuk dalam kategori antik maka janganlah dibuang pula kerana nilainya menjadi lebih tinggi jika diabadikan di sudut ruang sebagai khazanah berharga.

 

11. KEPALA KATIL

Kepala katil yang memaparkan reka bentuk cantik tidak perlu diusik lagi. Nanti jadi macam tikus membaiki labu pula. Kalau sudah elok di mata, biarkan sahaja. Jangan pandai-pandai tambah sana, usik sini. Yang perlu diperindahkan adalah kepala katil polos atau rekaannya kurang menarik. Untuk ini mungkin boleh digantung cadar bujang (single sheet) yang mempunyai corak dan warna memikat.

 

12. IKATAN REBEN

Lebihan reben jangan dibuang, tetapi kalau hendak membeli yang baru pun boleh juga sebab reben tidaklah mahal sangat.

Reben boleh diguna untuk menambah seri kemasan rumah, misalnya diikat pada tombol kabinet anak. Tambah menarik jika kedua-dua tombol dan reben adalah berlainan warna. Atau diikat reben pada kaki lampu meja, kaki kerusi mahupun kaki meja.

 

13. HIJAU

Simpan gubahan bunga plastik di dalam. Inilah masanya untuk turut serta dalam kempen hijau dengan mempamerkan pokok hiasan sebagai ganti kepada jambangan bunga tiruan. Pastikan tumbuhan itu daripada spesies yang kurang memerlukan cahaya matahari.

Jika tidak, daun mudah layu dan gugur, sekali gus memberi penampilan kurang menarik. Pilih pasu menarik untuk setiap pokok yang dipilih dan letakkan di mana-mana sudut. Nah, anda sudah ada bekalan oksigen di dalam rumah!

 

14. KABEL WAYAR

Kabel wayar yang berselirat tentu sahaja menyakitkan mata. Cara dulu-dulu dan masih diamalkan sekarang adalah dengan melekatkannya sepanjang dinding menggunakan braket khas. Cara baru yang lebih mudah, tetapi kreatif dan berseni adalah dengan menyusun lukisan/poster/gambar atas lantai.

Kabel-Wayar

Deretan karya seni yang dibingkaikan itu dapat melindungi kabel berkenaan. Cara ini juga dapat menutup kesan cela pada kaki dinding. Atau boleh juga disorokkan kabel wayar di belakang pokok pasuan, peti mahupun meja berlaci. Elak memasukkan kabel di bawah permaidani kerana ia boleh mengakibatkan kaki tersadung dan jatuh.

 

15. PERALATAN DAPUR

Keluarkan dan susun semula kelengkapan hidang, peralatan memasak serta balang rempah ratus yang diletakkan di atas rak atau di dalam kabinet. Pastikan susunan itu lebih kemas dan menawan. Dengan itu barulah boleh didedahkan untuk tatapan umum. Pintu kabinet yang sengaja dibuka itu juga seolah-olah mempelawa tetamu masuk ke dunia rahsia anda.

 

16. PERMAIDANI

Beri nafas baru pada permukaan lantai dengan hamparan permaidani. Ketibaan Aidilfitri adalah peluang terbaik untuk mengubah wajah lantai yang selama ini terbiar kosong. Pilih corak permaidani yang selari dengan gaya hiasan. Kalau sudah ada permaidani, tetapi jemu dengan corak lama itu maka belilah yang baru dalam corak berlainan.

Misalnya, kalau dahulu menggunakan corak berbunga penuh mungkin sekarang geometri. Corak polos dan abstrak pun menarik. Atau sebagai langkah berjimat, alihkan sahaja kedudukan permaidani-permaidani sedia ada dari satu ruang ke ruang lain.

 

17. PELAPIK PINGGAN

Ada orang suka menggunakan corak seragam dan ada juga yang menggemari corak berlainan. Untuk tampil berbeza, anda boleh mengambil pendekatan yang bertentangan kali ini. Kalau selama ini corak serupa menjadi pilihan maka eloklah tukar selera dengan mengetengahkan pelapik pinggan dan gelas beraneka motif atau warna.

Begitu juga dengan sudu dan garpu, pilihlah yang berona terang pada bahagian pemegangnya. Kemudian letak pokok pasuan mini atau jambangan bunga segar di tengah-tengah meja.

 

18. KUSYEN HIASAN

Percayalah, memiliki sarung sofa yang menarik belum cukup untuk membangkitkan seri ruang. Ia perlu diiringi kusyen hiasan, yang bilangannya bergantung kepada anda. Ada orang kata, sepasang kusyen hiasan belum memadai untuk sofa besar tiga tempat duduk. Perlu ditambah sepasang lagi. Betulkah? Hanya anda yang dapat menjawabnya kerana ia bergantung kepada ukuran dan reka bentuk sofa yang dimiliki.

Sesetengah orang suka ringkas dan tidak mahu menyemakkan suasana, tetapi yang lain pula gemar melihat susunan beberapa buah kusyen hiasan di atas sofa. Kusyen hiasan sebenarnya bukan sekadar hiasan kerana lebih daripada itu, ia memberi keselesaan. Pastikan warna dan corak kusyen hiasan bertentangan atau lebih gelap/terang daripada sofa.

 

19. GAMBAR KELUARGA

Dinding kosong nampak lesu dan suram? Maka jadikanlah dinding sebagai kanvas untuk penciptaan karya seni yang mengagumkan. Salah satu caranya adalah dengan menampal himpunan gambar sendiri dan ahli keluarga menjadi ‘photo wall’.

Kalau tidak mahu menampalkannya terus di dinding, gambar-gambar itu boleh dibingkaikan sebelum digantung. Di ruang dapur pula, gantung papan putih dan tampal resipi serta senarai barang yang perlu dibeli. Ia satu karya seni juga, bukan?

 

20. HARUMAN

Semarakkan rumah dengan haruman! Ini adalah antara cara menghias rumah yang paling murah dan mudah. Anda boleh menghasilkannya sendiri dengan menggunakan campuran bunga-bungaan dan daun herba wangi yang dipetik di taman. Kalau tidak ada, beli sahaja rampaian wangian yang siap dijual di dalam bekas menarik. Lilin aromaterapi juga satu pilihan yang baik.

wangian

1 Komen

  • Reply October 5, 2013

    mieka

    Terima kasih atas kongsi. rumah saya baru sje siap jadi saya cari2 ilmu dan idea untuk hias rumah baru saya. tq

Tinggalkan Komen

Current day month ye@r *